Renungan bersama....
sumber: Money Rules Man by
*BenHeine
Alhamdulillah atas nikmat kehidupan dalam Islam
yang Allah kurniakan. Saya mengingatkan diri agar terus-terusan berdoa supaya
kekal dalm Islam dan mati di dalamnya. Beruntunglah bagi orang yang hatinya
tetap di jalan yang Allah redhai. Saya mulakan perkongsian ini dengan Firman
Allah dalam Surah Al-Hadid (57:20):
20. ketahuilah Bahawa (yang
dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup Yang berupa
semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang
mengurang), juga (bawaan hidup Yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu
(dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba
membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah
seperti hujan Yang (menumbuhkan tanaman Yang menghijau subur) menjadikan
penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu
bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatnya
berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui
lagi, bahawa) di akhirat ada azab Yang berat (di sediakan bagi golongan Yang
hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta
keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang Yang mengutamakan Akhirat). dan
(ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi
orang-orang Yang terpedaya.
Ayat ini menyatakan nikmat dunia yang sering dikejar manusia termasuklah kekayaan dan anak keturunan. Ya, kedua-dua nikmat inilah yang akan menguji manusia di dunia ini. Andai tiada benteng pertahanan yang kukuh, maka kita akan lalai dan berasa asyik untuk mengejarnya. Betapa banyak kita melihat kini ramai manusia yang meletakkan nilai material sebagai ukuran kejayaan hidup. Tidak dinafikan harta itu penting dalam memastikan kelangsungan hidup. Namun, apabila ia menjadi matlamat hidup dan diusahakan siang dan malam, maka tersasarlah manusia dari tujuan utama kehidupan iaitu untuk mencari redha-Nya.
Sahabat-sahabat sekalian,
Allah telah mengingatkan manusia tentang ujian harta dunia ini sepertimana Firman-Nya dalam Surah At-Taubah (9:24):
24. Katakanlah (Wahai Muhammad):
"Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan
isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda
Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan
rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan
(daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada
orang-orang Yang fasik (derhaka).
Ayat ini menunjukkan keluarga dan kekayaan mampu menghalang kita dari berjihad ke jalan Allah. Kadangkala urusan mencari harta menyebabkan kita kurang menekankan kepentingan untuk menuntut ilmu. Sedangkan menuntut ilmu itu kewajipan. Ilmulah dapat membantu kita memperbaiki amalan harian kita. Usaha menambahbaik amalan juga kadangakala dilupakan akibat terlalu fokus dalam mencari harta dunia.
Sahabat-sahabat sekalian,
Satu perkara yang perlu kita fikirkan ialah, harta dunia ini hanya sementara, kelak ia akan ditinggalkan. Hanya amalan kita yang menjadi bekal untuk dibawa menghadap-Nya. Tanpa sedikit pun diabaikan, setiap butir bicara, amalan dan gerak hati kita akan dihitung. Takut. Itu pasti, risau, dan mencemaskan. Itu perasaan yang patutnya hadir dalam jiwa bila mengingatkan mati dan mengenangkan amalan kita selama ini. Setiap detik kita semakin hampir dengan kematian.
Akhirnya, saya menyeru diri dan sahabat-sahabat sekalian untuk kita sama-sama menyeimbangkan urusan mencari harta dengan menambahbaik amalan kita. Alangkah baiknya jika ia seiring, bergandingan dan saling memanfaatkan. Gunakan harta yang diperoleh ke jalan kebaikan, zakat dan sedekah. Moga harta kita sentiasa dibersihkan dengan amalan-amalan tersebut. Ingatlah harta dunia hanya alat bukan matlamat hidup kita. Wahai diri, ingat harta hanya sementara, dunia bakal ditinggalkan, amalan itu bekal dan kekal dalam pemerhatian-Nya.
Wallahua'lam
ingatan buat diri ....
No comments:
Post a Comment