Thursday, June 20, 2013

PENING POLITIK KAWAN SEKERJA

Penah berlaku pada korang tak....just nak share with u all.....


Siapa mahu pening kepala hanya semata-semata untuk melayan perangai rakan-rakan sekerja yang cuba untuk menjatuhkan kita, berlaku pengkhianatan semasa menjalankan tugas dan ada pula yang cuba mendapatkan semua kredit untuk diri sendiri walaupun itu adalah usaha orang lain.

Ada pula yang mengapi-apikan rakan baik, sabotaj dan ini semua berpunca daripada perasaan cemburu dan sebagainya. Ada pula yang cuba berbaik-baik dengan pihak atasan atau majikan semata-mata mahu kesenangan naik pangkat atau untuk dapatkan kemudahan lain dan dengan rela hati menjadi mata dan kepala majikan bagi memantau keadaan pejabat.

Pantang melihat kejayaan rakan sekerja yang lain, awal-awal dia sudah cucuk jarum.

Politik pejabat sinonim dengan bergosip dan sabotaj. Yang pasti, anda mempunyai pilihan untuk terbabit atau tidak dengan politik pejabat. Percaya atau tidak, politik pejabat mirip kepada permainan.


Malangnya, tidak ada cara ajaib untuk menghapuskan suasana politik pejabat yang kotor. Namun masih ada cara untuk meminimumkan politik pejabat itu atau meringankan pembabitan tidak langsung anda.


Memang tak seronok jika setiap hari menghadap muka mereka yang bijak mengatur permainan politik ini. Kalau diberi pilihan, sudah tentu kita hendak bekerja dengan rasa aman damai tanpa gang­guan negatif yang boleh menyebabkan kerja menjadi tidak produktif.

Jadi, bagaimanakah caranya untuk mengelakkan politik pejabat di tempat anda?


1. Konfrontasi secara langsung

Elakkan kaedah konfrontasi (pertentangan dan perselisihan) yang boleh merangsang perlakuan tidak diingini. Jika anda tersilap langkah, ini akan mengundang risiko ke atas diri anda, tambahan pula ada yang mempunyai ‘kabel’ besar dengan majikan. Jika ada yang cuba untuk membalas dendam atau sebagainya, cubalah dapatkan bantuan daripada pihak yang anda benar-benar percaya saja.


2. Berjumpa pengurusan

Berjumpa pihak pengurusan atau bahagian Sumber Manusia. Pilihan ini mempunyai beberapa keterbatasan, terutama jika rakan kerja yang terbabit mendapat sokongan daripada majikannya. Jika anda mempunyai bukti yang anda dianiaya, jangan keberatan untuk bertemu pihak pengurusan.


3. Jangan hipokrit

Kita mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah politik pejabat 100 peratus, tapi itu tidak bermakna kita harus terikut-ikut seperti mereka. Kita kena pandai untuk tidak melayan mereka yang bergosip kotor dan menikam orang dari belakang. Mungkin kita kerap terdengar beberapa perbualan yang tidak menyenangkan tapi kita harus menapis mana baik dan mana buruk.


4. Tabah

Terus terang, kita mesti tidak senang hati sekiranya sering dikhianati tetapi kita harus tabah untuk menghadapi semua ini dan jangan biarkan kerja kita turut terganggu. Sememangnya, mereka yang terbabit dengan politik pejabat mempunyai pelbagai cara untuk menjatuhkan orang lain. Tujuan mereka adalah untuk menjatuhkan kita, jadi jangan biarkan mereka menang. Berdiri teguh ketika berhadapan dengan politik pejabat yang direka untuk menyakiti kita.


5. Kawal musuh dengan baik

Kalau tidak ada musuh jangan cari musuh. Ada pepatah menyatakan, hanya satu alasan mengapa musuh anda tidak dapat menjadi kawan anda iaitu anda sendiri. Musuh kita adalah sahabat kita kerana dialah yang menunjukkan kesalahan kita.

Kenal pasti siapa menjadi musuh anda dan mereka yang berpotensi membenci anda. Mereka ini adalah orang yang tidak suka anda naik. Apa kekuatan mereka? Dari mana kekuatan itu datang? Jawatan mereka? Sekuat mana pengaruh mereka? Siapa sahabat-sahabat mereka? Adakah dia seorang yang dikatakan penting di pejabat anda.

Soalan ini anda harus jawab sendiri. Anda juga perlu mengkaji kelemahan musuh anda dan menggunakan kelemahan mereka untuk menjadi benteng anda.


6. Anggap politik pejabat adalah ­normal

Jangan dikusutkan sangat kepala dengan masalah birokrasi, gosip liar dan sebagainya. Mereka yang terbabit dengan politik pejabat ini sebenarnya manusia biasa juga.

Mungkin tabiat dari luar yang dibawa ke pejabat yang menyebabkan suasana pejabat tidak mesra. Umpat-mengumpat, menjatuhkan orang lain, bodek-membodek dan ada kumpulan sendiri adalah sesuatu yang normal dalam pejabat, cuma kita kena pandai kawal.

Pastikan juga kita tidak menggunakan ‘politik pejabat’ sebagai alasan untuk menutup kekurangan diri.